Sunday, October 4, 2009

Peniaga, anggota PGA rugi lebih RM100,000



KOTA BHARU - Seorang peniaga mengalami kerugian kira-kira RM50,000 apabila kilang membaiki sofa terbakar petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang di Jalan Cherang dekat sini sebuah kilang membaiki dan menerima tempahan sofa hangus.

Pemiliknya, Ang Seng Hooi, 40, berkata, ketika kejadian dia tiada di kilang berkenaan dan ada beberapa pemuda yang diubah untuk memotong besi sahaja berada di dalam kilang berkenaan.

“Saya mengupah mereka untuk memotong besi bagi dipindahkan ke kilang baru di Tumpat.

“Saya mendapat tahu api kebakaran itu bermula setelah percikan api terkena pada span lama dan dikatakan menyebabkan kebakaran merebak,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Seng Hooi berkata, kilangnya itu sudah berusia enam tahun dan kebanyakan barang sudah dipindahkan.

“Hanya ada tinggal sedikit sahaja barang termasuk mesin-mesin yang masih belum dipindahkan lagi,” katanya.

Sementara itu seorang pekerja yang terlibat dengan kerja-kerja memotong besi, Mohd Sakiman Mat Nor , 27 berkata, ketika kejadian dia melihat api sudah besar dan bergegas keluar bersama kawan-kawannya yang lain.

“Saya mendengar kawan saya menjerit ada kebakaran dan saya terus bergegas keluar menyelamatkan diri dan tidak terfikir untuk berusaha memadamkan kebakaran itu,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Saturday, October 3, 2009

Mati terbelit di tali buaian

KOTA BHARU – Seorang ayah terkejut setelah melihat leher anaknya terbelit dengan tali dan tergantung di dalam rumahnya malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam kelmarin mangsa, Mohd Amin Azmi, 13, ditemui tergantung di rumahnya di Kampung Jelutong, Seribong dekat Pasir Tumboh.

Ayah mangsa, Azmi Hasan, 43, berkata, penatnya hilang dengan serta-merta setelah melihat anaknya itu tergantung di tengah-tengah ruang tamu rumahnya.

:Menurutnya, pada hari kebiasaan cuti sekolah arwah akan mengikutinya bersama ibunya, Zubaidah Sulaiman, 40, menjual ikan tetapi kelmarin dia meminta izin untuk berehat di rumah.

:“Kira-kira jam 8 malam saya bersama anak sulung, Rozaini, 15 dan adik bongsu bersama isteri baru sahaja sampai di rumah sekembalinya dari Besut.

:“Abang sulung arwah menjerit kerana dialah yang pertama melihat adiknya itu tergantung dalam keadaan tidak berdaya lagi dan saya terkejut lalu berlari memastikan apa sebenarnya yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

:Azmi berkata, dia terkejut melihat keadaan anaknya dan setelah itu dia terus bergegas memotong tali buaian untuk menurunkan anak keduanya dan mendapati badannya masih panas ketika itu.

:“Saya tidak menyangka kepulangan kami sekeluarga disambut dengan berita kematian anak abang ngah kerana sebelum pemergiannya kami sempat makan bersama kira-kira jam 2.30 petang dan saat itu masih segar lagi dalam ingatan kami.

:“Dia anak yang sangat baik, segala nasihat kami dia ikuti dan tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarga, malah dia juga tidak menyuarakan apa-apa masalah yang dihadapi kepada kami kerana dia sentiasa gembira,” katanya.

:Azmi berkata, dia percaya anaknya tidak membunuh diri tetapi leher arwah terlilit tali ketika mengikat buaian.

:“Memang ini tempat memasang buaian dan saya percaya tangga yang digunakan arwah patah (berdasarkan kesan pada tangga yang digunakan) sebelum tali berkenaan melilit lehernya sehingga menyebabkan dia mati,” kata Azmi.

:Azmi berkata, anaknya itu juga seorang yang berjimat cermat kerana dia ada menyimpan duit untuk membaiki motosikal buruknya yang digunakan bersama abang sulungnya berlegar di sekitar kampung.

:“Saya juga dimaklumkan kira-kira jam 6.30 petang saudaranya datang ke rumah tetapi tiada sesiapa pun yang menyahut panggilannya,” katanya.

:Jenazah dikebumikan kira-kira jam 11 pagi semalam di tanah perkuburan Kubang Siput berdekatan kampungnya.

:Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi berkata, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

:Menurutnya, tiada tanda kecederaan teruk pada mangsa dan polis mempercayai tiada unsur jenayah dan ketika kejadian dia dipercayai bersendirian di rumahnya.

Sumber : Sinar Harian

Monday, June 1, 2009

MAJLIS MERIAH


KUALA KRAI- Perkahwinan di antara Muhaini dan Mohd Kamal begitu meriah dengan sambutan di luar jangkaan. Majlis ini diadakan di Kampung Bahagia, Kuala Krai yang hanya boleh dilalui oleh pengangkutan bot.

Friday, May 29, 2009

Warga emas maut insiden jalan raya


KOTA BHARU – Seorang warga emas maut dalam satu kemalangan apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Simpang tiga, Kampung Kor, Jalan Kuala Krai – Kota Bharu dekat sini, kelmarin.

Mangsa, Ibrahim Ali, 66 dari Kampung Chekeli, Beta dipercayai menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari rumahnya menuju ke Pejabat Pos Mulong.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota Avanza berwarna hitam dari arah Ketereh menuju ke Kota Baharu ketika mangsa keluar dari simpang berkenaan.

Gantung jawatan dalam parti


KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa serta-merta, pemimpin Umno di semua peringkat yang didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan secara automatik akan digantung semua jawatannya dalam parti.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata peraturan baru itu diputuskan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam meneliti cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Pengurusan parti.

"Sekiranya pemimpin itu berjaya dalam proses mahkamah, iaitu didapati tidak bersalah, maka jawatannya dikembalikan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Ibu Pejabat Umno di sini.

Monday, May 25, 2009

Bendung provokasi Hindraf

Oleh Anwar Hussin, Nazura Ngah dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my

Kerajaan didesak segera bertindak terhadap pihak gugat keamanan

KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap pemimpin Hindraf yang sengaja membuat provokasi bagi membangkitkan kemarahan rakyat dan mengancam keselamatan awam.

Mereka mahu tindakan segera diambil terhadap pemimpin pertubuhan haram itu, yang jelas cuba menggugat kestabilan negara dengan mengeluarkan kenyataan keterlaluan, berbau perkauman dan mencabar kedaulatan undang-undang.

etua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajar menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Hindraf yang sengaja mahu mencetuskan isu perkauman.

"Tindakan tegas seperti menyumbat semula mereka di kem tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar diambil kerana Hindraf sendiri adalah pertubuhan haram.

"Kerajaan perlu mengambil tindakan segera mengikut ISA atau Akta Hasutan bagi memberi pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba mengeruhkan politik negara," katanya mengulas tindakan beberapa pemimpin Hindraf yang terus membuat kenyataan bersifat provokatif dan enggan menghadiri sesi perjumpaan dengan Lembaga Penasihat ISA seperti ditetapkan sebelum pembebasan mereka, dua minggu lalu.

Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy yang kini tinggal di luar negara, turut mengugut kerajaan supaya menarik balik arahan mewajibkan abangnya, P Uthayakumar, menghadiri sesi itu atau sekali lagi berdepan dengan protes jalanan di seluruh negara.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan semua pihak perlu faham had kebebasan bersuara dan jangan salahkan kerajaan apabila mereka dikenakan tindakan termasuk kemungkinan ditahan semula jika terus membuat kenyataan keterlaluan yang boleh menjejaskan keselamatan dan perpaduan negara.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi II Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun, berkata kerajaan juga wajar mengkaji kemungkinan pemimpin Hindraf cuba membawa ideologi Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ke negara ini.

"Jika kerajaan gagal bertindak, ia akan memberi gambaran seperti perjuangan mereka direstui. Pemimpin Hindraf yang bertindak keterlaluan perlu disumbat semula ke kem tahanan ISA dan hak kerakyatan mereka dilucutkan," katanya.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohd, pula berkata jika unsur ekstrim yang dibawa pemimpin Hindraf tidak segera dibendung, lama-kelamaan ia akan semakin berleluasa dan menjadi ancaman besar kepada negara.

"Langkah tegas menerusi peruntukan undang-undang sedia ada perlu segera diambil bagi menangani masalah ini dan pada masa sama seluruh rakyat mesti diberi penjelasan menangani anasir jahat itu demi memastikan keamanan negara," katanya.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, berkata, kerajaan perlu segera bertindak tegas terhadap pemimpin Hindraf kerana mereka kini sudah terbukti melanggar undang-undang.

"Kalau kerajaan asyik memberi amaran dan kemudian melepaskan mereka, ia akan menyebabkan mereka merasa seolah-olah mereka betul dan tidak lagi takut kepada undang-undang," katanya.

Ketua Penerangan Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Zulkifli Ahmad, pula berkata peruntukan ISA mungkin terlalu lembut dan tidak berkesan untuk mengubah tindak tanduk pemimpin Hindraf.

Friday, May 22, 2009

SPR tentukan pilihan raya kecil Manik Urai, Khamis ini

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) akan bermesyuarat pada Khamis depan untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan, yang kosong berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaacob, pagi ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika dihubungi berkata mesyuarat akan diadakan pada hari berkenaan sekiranya surat pemakluman mengenai kekosongan dihantar pada Isnin.

"Mesyuarat dijangka bermula pada 10 pagi dan SPR akan memaklumkan pada hari sama mengenai tarikh penamaan calon dan hari pengundian," katanya.

Speaker DUN Kelantan Mohd Nassuruddin Daud hari ini berkata kekosongan kerusi DUN Manik Urai akan dimaklumkan kepada SPR, Isnin ini.

Ismail, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu jam 5.55 pagi kerana sakit jantung selepas dimasukkan ke hospital itu untuk menerima rawatan sejak bulan lepas.

Beliau, yang mewakii Pas, mula memenangi DUN Manik Urai pada pilihan raya umum 1985. - Bernama

Hakim: Zambry MB sah Perak


Mahkamah Rayuan hari ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

sivakumar and zambry at perak state assembly 130509 04Panel tiga hakim itu - yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam - sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop.

Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca.

Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - sebagai pencelah - turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN.

Gembira dengan keputusan tersebut di Slim River, Zambry menyifatkannya "kebenaran telah tiba."

Pada 11 Mei lalu, mahkamah tinggi mengumumkan Mohamad Nizar sebagai menteri besar sah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Abdul Aziz memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN Perak.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Mohamad Nizar.

Tetapi kegembiraan menteri besar Pakatan Rakyat itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan keesokannya membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan berhubung perkara tersebut hari ini.

Sementara itu, Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Manakala sekumpulan 200 orang di luar mahkamah, kedengaran melaungkan rasa tidak puashati mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Thursday, May 21, 2009

FAM tidak layan Kafa


Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.nizam@kosmo.com.my

SELEPAS Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa meluahkan dilema yang dihadapi, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula seperti enggan melayan kemelut yang dihadapi Kafa.

Kelmarin, setelah menyaksikan Kelantan tumbang buat kali keempat berturut-turut, Annuar akhirnya gagal menyembunyikan kekecewaannya sehingga mendedahkan kerugian yang ditanggung Kafa ekoran penggan- tungan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV daripada saingan Liga Malaysia (Liga M).

Selain menanggung kerugian RM30,000 dalam setiap perlawanan ekoran terpaksa beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, moral pemain pasukan dari Pantai Timur itu juga dilihat semakin merosot.

Justeru, Annuar memberitahu, Kafa mungkin terpaksa mengambil keputusan menarik diri daripada baki saingan Liga Super musim ini dan mengadakan perlawa- nan amal bagi mencari dana untuk beraksi dalam kempen Piala Malaysia, Oktober depan.

Biarpun luahan itu hanya didengar di dada akhbar, FAM bagaimanapun dilihat seperti enggan melayan kenyataan Annuar yang disifatkan badan induk itu sebagai 'luahan masalah pada saluran yang salah'.

"Kami (FAM) tidak boleh beri apa-apa reaksi kerana Annuar membuat luahan ini pada media, bukan pada FAM," kata Setia- usaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad (gambar) kepada Kosmo! semalam.

"Sebagai presiden dan bekas menteri, beliau perlu tahu kita mengambil dan membuat sebarang tindakan mengikut perlembagaan yang dipersetujui oleh semua anggota gabungan.

"Saya tidak kata dia silap kerana meluahkan masalahnya di akhbar, itu hak dia tetapi semua ini sebenarnya berkaitan prinsip dan perlembagaan sebuah gabungan per- satuan, jadi dia perlu arif tentang ini," kata- nya lagi.

Azzuddin juga tidak bersetuju dengan cadangan untuk mempertimbangkan semula situasi yang menimpa Kelantan dengan alasan ia tidak mencerminkan ketegasan dan imej sebenar sesatu persatuan gabungan.

"Rayuan mereka (penggantungan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV) telah ditolak dan itu saja yang saya boleh jelaskan," kata Azzuddin.

"Tiada lagi rayuan atau sebarang pertim- bangan akan kami buat kerana semuanya telah diputuskan berdasarkan perlembagaan. Kalau mereka nak juga buat rayuan, mereka boleh buat pada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

"Ini bukan mengenai selamatkan bola sepak negara kita tetapi berkaitan prinsip dan perlembagaan. Annuar dan Kafa sepatutnya tahu apa yang perlu dia lakukan, saya tidak akan jelaskannya," tegas Azzuddin.

BERITA DARI SINGAPURA-PM NAJIB TIBA BAGI LAWATAN DUA HARI





Oleh
Chairul Fahmy Hussaini

PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, tiba di Singapura semalam bagi lawatan rasmi dua hari.

Ketibaan Datuk Seri Najib dan isteri di Hotel Ritz Carlton disambut Menteri Pembangunan Negara, Encik Mah Bow Tan, selaku menteri pengiring.

Agensi berita Bernama melaporkan Datuk Seri Najib tiba melalui Laluan Kedua di Tuas selepas menghadiri dua acara rasmi di Nusajaya, Johor.

Semasa di sana, beliau telah ditanya tentang penglibatan Singapura dalam pembangunan kawasan Iskandar Malaysia.

Iskandar Malaysia bakal menawarkan pelbagai perkhidmatan dan perusahaan, seperti kesihatan, pendidikan dan kewangan.

Menurut Datuk Seri Najib, rakyat Singapura juga boleh menimbangkan untuk membeli rumah dan hartanah lain di Iskandar Malaysia.

Dalam lawatan itu, Datuk Seri Najib diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Petang semalam, Datuk Seri Najib bermain golf bersama Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional, Profesor S. Jayakumar, di Sentosa Golf Club.

Ini disusuli dengan mesyuarat pramajlis bersama delegasi Malaysia yang turut disertai Menteri Luar, Datuk Anifah Aman; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat; dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd Isa.

Bernama juga melaporkan, Datuk Seri Najib dan isteri menghadiri jamuan malam tadi yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Dato' Md Hussin Nayan.

Acara rasmi lawatan Datuk Najib bermula pagi ini dan beliau dijadualkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan.

ADUN PAS meninggal dunia




ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob meninggal dunia kira-kira subuh hari ini di hospital Kota Bharu dan PAS memanggil satu sidang media di Kuala Lumpur berhubung perkara tersebut.

Difahamkan Ismail, 60, dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya sehingga menyebabkan kesihatannya sering kali terganggu.

Allahyarham antara ADUN yang paling lama berkhidmat di Kelantan sejak memenanginya pada pilihanraya umum 1986.

Kecuali pada 2004, allahyarham sudah lima penggal dipilih mewakili kawasan tersebut - bawah parlimen Kuala Krai yang diwakili bendahari PAS Dr Hatta Ramli.

Pengarah pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali dijadual mengadakan satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur jam 11 pagi ini.

Beliau juga dijangka mengulas pilihanraya kecil DUN Penanti yang akan bermula Sabtu ini sehingga 31 Mei.


Keputusan pilihanraya umum 2008 bagi N41 Manik Urai

Jumlah pengundi: 12,292 orang
Peratusan kaum: Melayu 99.25%, Cina 0.44%, India 26%, Lain-lain 0.02%

1. Ismail Yaacob (PAS) 5,746
2. Mohamed Zulkifli Omar (BN) 4,394

Majoriti: 1,352
Jumlah undi: 10,332
Peratus mengundi: 84.05%
Undi rosak: 192

Wednesday, May 20, 2009

Strategi latih pelajar kuat jati diri




PASIR PUTEH - Pegawai Pelajaran Daerah, Ismail Ghazali menyifatkan kor kadet polis diwujudkan sebagai strategi melatih pelajar agar kuat jati diri dan berdisiplin tinggi.

Menurut beliau, penglibatan pelajar dalam kor kadet polis berupaya melatih mereka bertindak pantas dan betul.

“Disiplin merupakan aspek penting berbanding perkara lain dan kita berusaha menerapkannya menerusi kor kadet polis, hasilnya cukup memberangsangkan,” katanya sambil mengucapkan terima kasih atas kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan pegawai daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) yang menjayakan Kem Kadet Polis di Tok Bali baru-baru ini.

Kejayaan perkhemahan tersebut katanya, bergantung kepada komitmen semua pihak dan berdasarkan laporan yang diterima, beliau berpuas hati dengan disiplin peserta.

“Perkhemahan juga melatih kadet bekerja sebagai satu pasukan di mana persefahaman diperlukan untuk mencipta kejayaan, falsafah inilah yang akan menjadi amalan mereka sepanjang masa,” katanya.

Program ‘Pemimpin Bersama Rakyat’




BATU 11 - Satu program pemimpin bersama rakyat yang mengumpulkan penduduk dari pelbagai peringkat usia di sekitar DUN Kemahang diadakan di Dewan Penggerak Masya-rakat di kawasan terbabit di sini.

Program tersebut dihadiri oleh Pengarah DUN Kema-hang, Yusoff Deraman; Pega-wai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Tanah Merah, Arif Atan, Ketua Wanita UMNO Tanah Merah, Dayang Saniah Awang Hamid dan Penyelia Pembangunan Mu-kim (PPM) kawasan berkenaan serta Setiausaha DUN Kemahang, Dasuki Yusoff.

Seramai 100 masyarakat setempat dan jawatankuasa terbabit menjayakan program berkenaan.

Menurut Yusoff, diharapkan agar majlis seumpama itu dapat mendekatkan masyarakat setempat dengan para pemimpin tempatan.

“Di samping itu masyarakat dapat menyatakan sebarang hal dan masalah yang berlaku di kawasan setempat terus kepada pemimpin di kawasan tertentu dengan adanya program ini.

“Program ini juga diadakan bagi mendekati masyarakat khususnya di DUN Kemahang agar lebih dekat dengan pemimpin mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, usaha untuk mendekati masyarakat setempat akan diteruskan dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan golongan terbabit.

Tembikai Bochi tembusi pasaran luar


BAKONG - Tembikai jenis Bochi yang diusahakan pengusaha tempatan, Sauffi Ibrahim, 45, di Kampung Bakong kini mampu menembusi pasaran luar negeri Kelantan dan luar negara.

Sauffi berkata, sejak 10 tahun mengusahakan tembikai, permintaan terhadap buah berkenaan adalah tinggi namun jika cuaca tidak menentu, dia perlu mengurangkan eksport buah tersebut.

“Selepas ia dituai, buah tembikai Bochi segar terus diambil oleh pemborong tempatan dan ia kemudian dihantar ke negeri lain seperti Kuala Lumpur, Johor dan Singapura.

“Namun, memandangkan pada musim ini cuaca tidak menentu, kuantiti permintaan terpaksa dikurangkan walaupun permin-taan tembikai amat menggalakkan,” katanya.

Dia berkata, setiap hari dia dan lima pekerja mampu menuai 10 metrik tan tembikai yang diusahakan seluas 0.4 hektar yang ditanam sejak bulan Mac lalu.

Menurut pengalamannya, tembikai yang ditanam di negeri ini dihantar ke negeri lain, manakala tembikai dari negeri lain kebanyakan dihantar ke Kelantan dan sebagai pengusaha, mereka mengikuti jadual tanaman agar penghantaran tidak bertembung.

Katanya, selain mengusahakan tembikai, pada musim lain pula, dia menanam sayur-sayuran pada tanah yang sama dan mengusahakannya secara komersil.

Kematian warga emas bermotif bunuh




KOTA BHARU - Polis percaya kematian seorang warga emas di rumahnya di Kampung Sireh, Bawah Lembah dekat sini kelmarin bermotifkan samun dan bunuh.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan pakar dari Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II mendapati mangsa, Zaharah Sulong, 84, mati akibat dicekik dan lehernya dipulas.

“Berdasarkan laporan tersebut, mangsa disahkan mati akibat mengalami patah leher.

“Pihak polis tidak menolak kemungkinan wujudnya perbuatan khianat terhadap mangsa kerana terdapatnya kesan lebam di dahi dan tangan mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya semalam.

Menurutnya, hasil sia-satan yang dijalankan, polis mendapati tiada kesan pencerobohan yang dila-kukan terhadap rumah mangsa berikutan tiada barangan berharga lain yang dilaporkan hilang kecuali sebentuk cincin emas belah rotan yang dipercayai dipakai di jari mangsa.

“Berikutan itu, pihak polis yang pada peringkat awalnya mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes kematian biasa menukar kes itu kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, polis mendapati suspek memasuki rumah dua tingkat jenis papan itu dengan cara mengumpil tingkap bilik tidur mangsa di bahagian atas dan keluar melalui pintu dapur bahagian belakang rumah itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa yang tinggal di rumah bersama anak sulung perempuannya yang dipercayai kurang siuman ditemui mati dalam keadaan terbaring di dalam bilik tidurnya.

Zahruddin berkata, polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes itu berdasarkan maklumat orang ramai dan percaya kes tersebut dilakukan oleh lebih dari seorang suspek.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kes berkenaan diminta tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis polis berhampiran dengan segera,” katanya.

TESTING

TESTING BLOG KELANTAN KITA.....BLOG BERITA TERKINI DI KELANTAN DAN DI DUNIA AMNYA....
vemma